Fitness Tip of The Day

Friday, March 12, 2010

Faedah-faedah Senaman


Senaman fizikal terbahagi kepada 2 jenis; senaman aerobic dan juga senaman anaerobic. Senaman aerobik lebih tertumpu untuk ketahanan sistem saluran darah. Manakala senaman anaerobik lebih tertumpu untuk menguatkan otot.

Secara fisiologi, sepertimana yang kita ketahui, apabila bersenam, hormon adrenaline akan dibebaskan, di mana ia akan menjadikan salur darah mengecil untuk meningkatkan tekanan darah, supaya darah sampai kepada organ dalam masa singkat. Manakala salur darah di otot pula dilebarkan, untuk memenuhi keperluan oksigen kepada otot yang bersenam. Di jantung pula, kekuatan mengepamnya akan bertambah, tempoh berdenyutnya juga menjadi pendek dan lain lain lagi.Senaman menjadikan jantung lebih kuat, kerana darah perlu dipam cepat untuk memenuhi badan yang bermetabolisma tinggi.Terdapat banyak lagi perubahan fisiologi yang berlaku apabila badan bersenam, yang membawa kepada banyak kebaikan dan faedah.Berikut adalah beberapa faedah senaman kepada tubuh ;

1)Senaman Melancarkan Otak
"tubuh yang sihat membawa kepada akal yang sihat". Bagaimanakah senaman menyumbang kepada akal ? Senaman dalam jangka masa panjang memberi kebaikan kepada otak dengan melancarkan perjalanan darah ke otak. Peningkatan tekanan darah akan menyampaikan darah kepada bahagian otak yang kurang mendapat darah, justeru meningkatkan keperluan oksigen kepada otak. Semestinya kita akan menjadi lebih segar dan tidak mengantuk.

2)Senaman membakar lemak
Lemak penting untuk badan. Namun, dalam keadaan lemak yang berlebihan, ia amat berbahaya kepada badan. Antara penyakit yang terkenal disebabkan lemak ialah, arterosklerosis (enapan lemak di salur darah yang membawa kepada banyak komplikasi). Kurus tidak bermakna anda sehat. Anda mungkin tidak gemuk, namun anda mungkin mempunyai banyak kandungan kalori di dalam badan. Senaman membakar lemak. Bagaimana lemak ini terbakar ? Secara biokimia, tenaga pertama yang digunakan di dalam badan ialah karbohidrat, diikuti dengan lemak , dan protein. Kandungan karbohidrat di dalam badan tidak banyak. Dalam keadaan kekurangan tenaga, karbohidrat akan disimpan untuk kegunaan otak dan jantung,manakala bahagian lain akan menggunakan lemak untuk mendapatkan tenaga. Bersenam memerlukan jumlah tenaga yang banyak. Dalam keadaan kekurangan karbohidrat, lemak akan ditukar menjadi glukosa ( lipolysis ) untuk menampungi keperluan badan yang inginkan glukosa. Inilah yang dimaksudkan dengan pembakaran lemak. Dengan ini anda akan terhindar dari penyakit yang disebabkan oleh lemak, seperti arterosklerosis yang membawa kepada kegagalan jantung berfungsi , strok, obesiti dan lain lain lagi.

3)Senaman meningkatkan Stamina dan Tenaga
Senaman melancarkan system peredaran darah, menghantar oksigen dan nutrisi kepada tisu tisu badan dengan berkesan. Apabila anda konsisten dalam bersenam,anda akan mengalami perubahan fisiologi dalam badan (untuk menyediakan lebih banyak oksigen untuk anda yang perlukan tenaga yang banyak kerana kerap bersenam), seperti pembesaran jantung dan juga pembesaran otot. Keadaan ini tidak membahayakan, ia biasa terjadi kepada para atlit yang sentiasa menerima latihan dan senaman ketat. Apabila jantung, paru paru dan badan anda berkerja dengan berkesan,anda akan mempunyai tenaga yang lebih dan boleh bertahan lama daripada keletihan.

Sebenarnya, terdapat banyak lagi faedah yang kita akan perolehi dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal. Oleh itu, adalah tanggungjawab semua supaya memberi dorongan dan didikan kepada orang lain supaya mereka juga dapat menikmati faedah senaman yang di lakukan.

No comments:

Post a Comment