Fitness Tip of The Day

Friday, April 9, 2010

Lawatan ke YOKUK

Memandangkan lawatan ke YOKUK pada 11 Mac yang lepas terbatal, maka kami menggantikannya pada 25 Mac 2010. Aktiviti yang kami ingin lakukan pada esok hari adalah sama dengan aktiviti yang kami rancang pada tempoh hari iaitu aktiviti sukaneka iaitu terdapat beberapa permainan yang yang dimainkan mengikut urutan. Alatan telah kami sediakan sendiri dan juga kami meminjam daripada makmal sains sukan PPSK. Kira-kira pukul 8.30 pagi kami bertolak dari USMKK ke YOKUK dengan van yang telah tersedia. Setiba di YOKUK pertama sekali kami mengadakan sesi suaikenal dengan mereka yang kurang upaya. setelah itu, kami memulakan aktiviti kami iaitu dimulai dengan senaman aerobik untuk tujuan memanaskan badan. Selepas itu baru lah kami memulakan aktiviti sebenar kami iaitu sukaneka. Sebelum kami memberi mereka bermain bersama-sama, kami terlebih dahulu menunjukkan kepada mereka cara-cara yang betul untuk bermain supaya mereka memahami sepenuhnya cara bermain dan bagi mengelakkan kemalangan semasa permainan. Mereka kelihatan begitu seronok semasa mereka bermain. Kira-kira pukul 12.30 tengah hari aktiviti kami pun tamat dan kami pun bertolak pulang ke USMKK dengan van.

Thursday, March 18, 2010

Persediaan untuk lawatan ke Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan(YOKUK)

10 mac 2010 yang lepas bertempat di E-restoran, kumpulan kami yang terdiri daripada Zuhaili, Aidi, K-yo dan saya sendiri membincangkan aktiviti yang ingin kami jalankan sempena lawatan kami ke YOKUK pada esok harinya, 11 mac 2010. Selama kira-kira sejam kami bertungkus-lumus merangka aktiviti yang boleh kami jalankan nanti. Kami bercadang mengadakan aktiviti sukaneka iaitu terdapat beberapa permainan yang yang dimainkan mengikut urutan. permain ini bukan sahaja dapat menguji kebolehan peserta-peserta dari segi ketangkasan, koordinasi dan kelajuan, permainan ini juga dapat memberi keseronokan kepada mereka. Antara permainan yang terdapat dalam sukaneka tersebut adalah menarik bola dengan gegelung, melontar bola kedalam keranjang dan bowling. Semua peralatan yang kami gunakan dalam permainan ini ada terdapat di makmal sains sukan PPSK dan alat-alat lain seperti botol kecil untuk permainan bowling kami cari sendiri. Kami akan bertolak ke YOKUK pada jam 8.30 pada esok paginya.

Namun begitu, giliran kami ke YOKUK pada minggu ini terbatal disebabkan ada masalah untuk menghubungi pihak yang ada di sana bagi mandapatkan kepastian kehadiran kami. Oleh itu, kumpulan kami akan menunggu untuk minggu yang akan datang.

Sunday, March 14, 2010

Senaman Otak/ Brain Gym

Otak kita terdiri daripada 2 hemisfera. Anehnya, 85% orang di dunia ini hanya menggunakan otak kiri sahaja. Sebahagiaannya menggunakan kombinasi kedua-duanya dan separuh lagi hanya menggunakan otak kanan. Dari segi fungsi, otak yang terdiri dari dua hemisfera kiri dan kanan itu memiliki tiga dimensi yang saling berhubungan. Dengan menggunakan seluruh bahagian otak ini, fungsi otak dapat dioptimalkan. Sayangnya , tidak semua orang mampu melakukannya. Salah satu cara mengoptimalkan penggunaan semua dimensi otak adalah senam otak atau dikenali sebagai ‘Brain Gym’. Senam otak atau brain gym adalah serangkaian latihan berasaskan gerakan tubuh. Gerakan itu dilakukan untuk merangsang otak kiri dan kanan (dimensi lateral) belakang otak dan bahagian depan otak (dimensi pemfokusan), merangsang sistem yang berkait dengan perasaan/emosi, yakni otak tengah (limbis) serta otak besar (dimensi pemusatan). Sebagai pemulaan, BrainGym ini boleh dilakukan sambil melakukan aktiviti seharian. Ia boleh dilakukan bila-bila masa sahaja tanpa waktu khusus. Brain gym mampu memudahkan kegiatan belajar dan melakukan penyesuaian terhadap ketegangan dan aktiviti sehari-hari. Brain gym yang diperkenalkan dan dikembangkan oleh Paul E Dennison dan Gail E Dennison terdiri dari 35 gerakan. Beberapa gerakan sederhana seperti Gerakan Silang (Cross Crawl), Mengisi Energi (Energizer), 8 Tidur (Lazy 8’s), Sekalar Otak (Brain Button), Titik Positif (Positive Points), Putaran Leher (Neck Rolls), Tombol Bumi (Earth Button) , dan Tombol Imbang (Balance Button), Tombol Angkasa, Penyatuan dan Hook Ups,The Energy Yawn, The Thinking Cap, The Elephant, Double Doodle, The Rocker, Belly Breathing, Cross Crawl Sit-Ups and Think of an X.


Sekalar Otak (Brain Button)

Letakkan jari telunjuk dan ibu jari tangan kanan di bawah tulang selangka dan gerak secara membulat dengan perlahan. Telapak tangan kiri diletakkan di atas pusat.Gerakan ini diulang dengan tangan kiri pula.










Gerakan Silang (Cross Crawl)

Angkat tangan kanan, tepuk peha kiri. Dan angkat tangn kiri, tepuk peha kanan. Gerakan ini diulang dengan gerakan kanan dan kiri secara bergilir


























Penyatuan

Julurkan tangan ke depan, satukan kedua belah telapak tangan kanan dan kiri, jari saling bertautan. Buka tautan jari secara bergilir dari jari kelingking hinggalah ibu jari.












Hook-Up

Silangkan kaki, iaitu posisi kaki kanan di depan kaki kiri. Lalu silangkan kedua tangan, tangan kanan berada di atas tangan kiri dan satukan telapak tangan dengan jari saling bersilangan.Putar ke arah dalam. Letakkan di dada. Lakukan gerakan ini secara bergantian.


Tombol Bumi (Earth Button)

Letakkan dua jari tangan kanan di tengah dagu, sementara telapak tangan kiri di daerah pusat (perut). Jari-jari telapak tangan kiri menunjuk ke bawah (lantai). Gerakan dari bawah (lantai) ke atas (langit-langit), lalu kembali ke bawah sambil melakukan nafas dalam, yaitu menarik napas dalam-dalam, dan membuangnya secara perlahan. Lakukan selama 1 minit atau sekitar 4-6 kali nafas dalam. Ulangi gerakan dengan tangan kiri.

Tombol Keseimbangan (Balance Button)

Sentuh tombol keseimbangan yang terletak di belakang telinga kiri (bawah tulang tengkorak) dengan beberapa jari tangan kiri. Sementara itu, letakkan telapak tangan di daerah pusat. Posisi kepala lurus ke depan. Setelah 30 detik, lakukan untuk tangan kanan pula. Ulangi gerakan hingga beberapa kali.

Titik Positif (Positive Point)
Sentuh titik dahi, kira-kira di antara perbatasan rambut dan alis. Lakukan selama 30-60 detik.
Manfaat : Menenangkan fikiran


8 Tidur (Lazy's 8)

Angkat tangan kanan. Lukis angka 8 tidur. Arahkan mata ke ibu jari, ikuti setiap gerakkan ibu jari. Ganti tangan sebelahnya.

Pendidikan Jasmani Suaian Pelajar Berkeperluan Khas

Pendidikan Jasmani merupakan satu subjek penting dalam kurikulum pendidikan formal dalam sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun matapelajaran pendidikan jasmani tidak diuji dalam peperiksaan awam di Malaysia, subjek ini nyata signifikan kerana merupakan satu-satunya bidang pendidikan yang menekankan taksonomi jasmani yang tidak disentuh oleh matapelajaran-matapelajaran lain dalam hal berkaitan dengan empat taksonomi penting pendidikan iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Tambahan lagi, selain daripada merupakan bidang ilmu itu sendiri, subjek ini menyumbang kepada kecergasan semasa seseorang murid dan mampu menerapkan amalan bersenam untuk kesihatan di luar waktu sekolah malah untuk sepanjang hayat.

Dalam konteks hubungan antara pendidikan jasmani dengan pendidikan formal, pendidikan jasmani merupakan penyumbang besar kepada proses asimilasi individu ke dalam masyarakat (de Vries, 1995). Pendidikan formal ialah proses di mana masyarakat, melalui sekolah, universiti dan lain-lain institusi pengajian menurunkan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkumpul daripada satu generasi ke satu generasi. Sekolah merupakan salah satu institusi pengajian formal. Subjek pendidikan jasmani di sekolah pula dirangkumkan ke dalam kurikulum persekolahan. Pendidikan jasmani merupakan satu bentuk pendidikan formal (de Vries, 1995). Malah, pendidikan jasmani dilihat sebagai lebih menyeluruh berbanding dengan subjek lain. Subjek-subjek lain banyak menyentuh aspek kognitif (intelektual), sedikit ruang untuk aspek rohani (afektif) dan hampir tiada ruang untuk aspek psikomotor dan fizikal. Aspek-aspek yang dinyatakan adalah amat penting kepada golongan berkeperluan khas kerana sebahagian pelajar mengalami masalah fizikal seperti pertumbuhan otot dan deria yang tidak sempurna. Aktiviti jasmani yang disesuaikan dengan keupayaan pelajar berkeperluan khas boleh membantu golongan ini mengurangkan kelemahan dan masalah yang dihadapi (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1989). Masalah kecacatan fizikal tidak boleh dipulihkan dengan rawatan perubatan sahaja tetapi pakar perubatan telah memperkenalkan program terapi fisio yang dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan individu dengan lebih berkesan (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1998). Oleh yang demikain pengajaran pendidikan jasmani suaian untuk pelajar khas yang dirancang dengan baik dan bersesuaian akan dapat memenuhi falsafah kurikulum bersepadu yang dilaksanakan di sekolah-sekolah di Malaysia.

Aktiviti jasmani suaian untuk golongan khas kurang diberikan perhatian pada masakini. Malah, jika dilihat daripada skop yang lebih luas, pendidikan jasmani suaian untuk golongan khas adalah lebih kritikal daripada golongan normal.Di Malaysia tidak banyak tempat-tempat yang disediakan sesuai untuk memberi peluang kepada golongan khas untuk beriadah terutamanya di luar kawasan sekolah khas. Golongan normal mudah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran, kemudahan dan peralatan sesuatu jenis aktiviti riadah tetapi golongan khas pula sukar mendapat peluang untuk turut serta aktiviti yang dijalankan. Begitu juga dengan aktiviti pendidikan jasmani yang dilaksanakan di sekolah, aktiviti pendidikan jasmani yang dijalankan kepada pelajar berkeperluan khas kurang diberikan perhatian dan mereka mengikuti aktiviti yang kurang sesuai bersama-sama dengan pelajar-pelajar biasa (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1999). Banyak halangan yang dihadapi oleh golongan khas untuk melibatkan aktiviti pendidikan jasmani di sekolah kerana terdapat pelajar-pelajar berkeperluan khas mengalami masalah fizikal yang melibatkan otot, saraf dan pembentukan postur yang kurang sempurna. Contohnya terdapat di kalangan pelajar yang mengalami otot-otot yang kurang sempurna tidak dapat melakukan pergerakan seperti pelajar biasa. Begitu juga yang mengalami masalah deria tidak dapat bergerak sebebas dan sepantas pelajar biasa. Ini akan mengakibatkan mereka merasa rendah diri dan tersisih. Aktiviti pendidikan jasmani yang bersesuaian perlu disediakan untuk melatih dan melazimkan keupayaan mereka ke tahap yang optimum bagi menyediakan mereka untuk menghadapi kehidupan sebenar di luar sekolah. Selain daripada itu aktiviti pendidikan jasmani suaian juga perlu menyediakan situasi ceria yang dapat menggalakkan kesejahteraan emosi kepada golongan istimewa ini.

Masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani kepada pelajar-pelajar khas yang disuarakan oleh guru-guru di sekolah percantuman dan sekolah khas adalah seperti berikut:

i. kekurangan guru pendidikan jasmani yang berkelayakan

ii. jumlah pelajar yang terlalu ramai untuk pengajaran yang kondusif

iii. peralatan yang tidak sesuai bagi pelajar khas

iv. pelajar khas yang dipinggirkan oleh pelajar normal

v. cuaca yang panas dan tidak kondusif kepada pelajar khas

vi. masalah fizikal bagi pelajar-pelajar khas

vii. kurang upaya yang berbeza-beza pelajar-pelajar khas

viii. tingkah laku pelajar khas kerana terdapat mereka yang agresif

ix. masalah komunikasi antara guru biasa dengan pelajar khas, pelajar khas dan pelajar normal.

Faktor-faktor tersebut merupakan beberapa halangan yang menyebabkan kesukaran untuk menjalankan aktiviti pendidikan jasmani atau walau pun guru-guru menyedari pentingnya aktiviti ini kepada pelajar khas. Kadang-kadang aktiviti ini tidak dapat dijalankan langsung kerana faktor-faktur keselamatan kawasan atau peralatan yang hendak digunakan tidak bersesuaian dan boleh membahayakan pelajar sekiranya digunakan.


Pendidikan jasmani yang dilaksanakan secara tidak terancang dan sesuai untuk sesuatu kategori keperluan khas tidak membawa sebarang kesan yang positif kepada perkembangan fizikal, emosi dan mental. Kategori kesihatan yang paling utama untuk pelajar yang mempunyai kekurangan upaya secara fizikal yang melibatkan aspek kesihatan ialah apabila kekurangan-kekurangan itu sendiri boleh mendatangkan kesan kepada kesihatan individu tadi secara timbal balik (Heller, 2000). Aktiviti fizikal terancang menjadi lebih penting kerana banyak kecacatan yang dialami oleh pelajar khas seperti kekejangan otot menyebabkan mereka sukar untuk melakukan sesuatu pergerakan dan menghadkan pergerakan (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1989). Otot-otot yang kurang sempurna ini sepatutnya perlu dilatih dan dilazimkan ke tahap yang melebihi optimum bagi membantu mereka untuk menghadapi kehidupan sebenar di luar sekolah. Aktiviti pergerakan dalam pendidikan jasmani boleh membantu mengurangkan atau mengendurkan ketengangan yang dialami. Selain itu aktiviti pendidikan jasmani juga perlu menyediakan situasi ceria yang dapat menggalakkan kesejahteraan emosi kepada golongan istimewa ini. Tanpa aktiviti fizikal yang direka khas dan diubah suai juga adalah meyukarkan untuk golongan khas ini berpeluang bermain dengan adil, bermain bersama rakan-rakan yang mempunyai kekurangan yang sama, persekitaran kawasan yang sesuai dan selamat; dan peralatan yang khas yang diperlukan untuk tujuan beriadah.

Guru yang mengajar pendidikan jasmani juga perlu mempunyai sikap penyabar dan positif apabila berdepan dengan kanak-kanak khas ini. Tidak kurang penting juga, mereka perlu peka mengenai perbezaan yang terdapat pada anak didik mereka. Contohnya guru yang mempunyai pelajar spina bifida dalam kelasnya perlu membuat perubahan seperti merancang kelas supaya pelajar ini berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal, mengubah suai persekitaran untuk mengegalakkan mobiliti dan pergerakan dan mengelak pergerakan yang boleh mendatangkan rasa kurang selesa dan kesakitan kepada pelajar tadi. Selain itu guru pendidikan jasmani perlu mampu mengenalpasti dengan cepat tanda-tanda dan simptom seperti kulit yang tercedera atau jangkitan urinari. Begitu juga, contohnya, kelas yang mempunyai pelajar sawan. Guru perlu membuat perubahan supaya aktiviti itu tidak terlalu menekan jiwa pelajar. Sebagai langkah berjaga-jaga, guru ini perlu mengingatkan pelajar untuk mengambil medikasi terlebih dahulu dan dengan cepat mengenalpasti tanda-tanda dan simptom distres semasa aktiviti (Heller, 2000; Jansma & French 1994; Pangrazi & Darst, 1994).

Program aktiviti fizikal terancang untuk golongan khas tidak kurang penting seperti juga golongan normal. Faedahnya tidak terhad kepada kesihatan fizikal, tetapi juga merangkumi kesihatan psikologikal, termasuk pembentukan kognitif, sosial, afektif dan moral mereka yang mengikuti program ini. Kesempatan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti memberi peluang kepada pelajar khas untuk merasa seronok dan berguna. Sebagai tambahan, apabila seseorang pelajar itu berjaya menguasai sesuatau kemahiran, pelajar ini akan meningkatkan konsep kendiri (self-concept), penghargaan kendiri (self-esteem) dan keyakinan diri (self-confidence) (Hvozdovic, 2003). Keterangan-keterangan ini sesuai dengan definisi yang diberikan oleh Jansma dan French (1994) yang merujuk pendidikan jasmani suaian sebagai “modifikasi aktiviti fizikal tradisional bagi membolehkan individu kurang upaya berpeluang untuk mengambil bahagian secara selamat, berjaya, dan mendapat kepuasan” (Jansma dan French, 1994).

Rujukan: http://www.ipbl.edu.my/inter/penyelidikan/seminarpapers/2005/safaniUKM.pdf

Bukan Sukar Untuk Mendidik Anak Istimewa

Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini ialah bahagian kedua rencana tiga siri sempena Hari Antarabangsa Bagi Orang Kurang Upaya pada 3 Dis

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Orang Kurang Upaya (OKU) atau dinamakan 'golongan istimewa' memerlukan perhatian dan bantuan masyarakat supaya mereka dapat berdikari dan meneruskan kehidupan walaupun dibelenggu dengan pelbagai masalah kerana ketidakupayaan mereka.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM), kerajaan telah mewujudkan

Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi membantu anak-anak golongan ini yang dikenali juga sebagai anak istimewa dalam proses pemulihan mereka.

Menurut aktivis sosial Gurmukh Singh, ada di antara OKU ini yang mempunyai kelebihan masing-masing, dan mereka boleh menjalankan aktiviti secara sendiri tanpa bantuan orang lain jika mereka diberi latihan di sekolah khas serta juga PDK.

Seorang ibu kepada anak istimewa, yang mahu dikenali sebagai Juliana berkata membesarkan anak kurang upaya bukanlah susah jika ibu bapa serta penjaga tahu bagaimana cara mendidik dan memberi peluang serta ruang bagi mereka mempamerkan bakat yang ada.

"Saya lihat bagaimana selepas anak saya yang kurang upaya berdaftar dan menjalani program pemulihan di PDK, terdapat banyak perubahan berlaku seperti dia bertambah yakin dan lebih berani mencuba sesuatu," kata Juliana.

MEMBESARKAN ANAK KURANG UPAYA

Bagi Ida, seorang penjawat awam yang mempunyai anak Sindrom Down, mendidik anak kurang upaya bukanlah sangat sukar seperti dijangkakan ramai, cuma ia memerlukan banyak kesabaran.

"Saya menghantar anak ke Pusat Nasional Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KDSF) di Petaling Jaya dan dia telah menunjukkan peningkatan ketara dari segi pengenalan kognitif serta pergerakan fizikal," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Bagi Ida, banyak cabaran perlu dihadapi bagi menjaga anak seperti ini terutama apabila mereka menghadapi beberapa masalah kesihatan yang kerap memerlukan rawatan hospital.

"Anak saya juga mempunyai jadual rutin pemeriksaan kesihatan di hospital kerana mempunyai masalah respiratori serta perkara lain yang bersangkutan Sindrom Down," kata beliau.

Jurupulih anggota, Jenny Chin berkata mendidik anak istimewa perlulah secara lembut dan jangan terlalu berkasar dengan mereka kerana boleh menyebabkan mereka memberontak dan melakukan perkara yang tidak diingini.

"Jangan berkasar atau buat mereka marah kerana dalam keadaan sebegini mereka boleh bertindak mengikut kemarahan sahaja".

Kata beliau didikan sempurna amat penting bagi anak istimewa dan ibu bapa boleh mendaftarkan mereka di institusi pemulihan agar dapat dibantu oleh pakar yang berpengalaman dalam bidang ini.

KANAK-KANAK ISTIMEWA

Bagi pensyarah Suhiadi Sanii, kehadiran anak istimewa merupakan satu cabaran besar bagi ibu bapa kerana tanggungjawab menjaga anak-anak ini lebih mencabar dan memerlukan lebih perhatian.

"Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu menjalankan apa yang sepatutnya diperlukan anak mereka. Anak-anak ini perlu diberi kasih sayang, didikan akhlak dan pendidikan akademik mengikut kemampuan masing-masing.

"Di Malaysia, kerajaan menyediakan banyak sekolah khas untuk memberi pendidikan bagi mereka yang dalam kategori anak istimewa. Ramai di antara mereka ini mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik sama seperti pelajar yang normal.

"Ada di antara mereka yang berjaya dalam kerjaya profesional masing-masing seperti dalam bidang undang-undang, ekonomi dan juga akademik," kata Suhiadi.

PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK)

Syaratnya anak-anak istimewa ini diberikan program pemulihan khas agar kemampuan mereka dapat dipertingkat.

Terdapat lebih 300 pusat PDK yang boleh menampung lebih 8,000 orang anak istimewa seperti mereka yang mengalami Sindrom Down dan kecacatan otak. PDK merupakan satu program yang disediakan oleh JKM untuk memberi latihan dan pemulihan bagi anak istimewa dalam masyarakat.

Suhiadi berkata membiarkan anak istimewa tanpa mendapat apa-apa usaha pemulihan dan pendidikan yang sewajarnya akan memburukkan lagi keadaan.

"Jika mereka diasuh dan diberi latihan, sudah pasti pergantungan terhadap ibu bapa dapat dikurangkan apabila kemampuan fizikal dan mental mereka bertambah baik".

Sikap ibu bapa tidak mahu menghantar anak istimewa ke sekolah atau institusi pendidikan khas berpunca daripada kurang keyakinan dan juga rasa malu mempunyai anak sedemikian.

"Perasaan tersebut perlu dikikis," kata beliau.

Kerajaan telah mengambil usaha untuk membela nasib OKU. Pembelaan itu bukan setakat memberi bantuan latihan khas dan bantuan alat sokongan, tetapi memberi peluang untuk OKU sama-sama menyumbang terhadap kemajuan negara.

Usaha berterusan kerajaan serta sokongan pihak swasta, pertubuhan kebajikan dan orang ramai memperlihat kesan positif dalam meningkatkan taraf hidup OKU.

Sikap prejudis dan diskriminasi orang ramai terhadap OKU juga semakin berkurangan.

LANGKAH PEMULIHAN

Ibu bapa, penjaga dan guru-guru mesti peka terhadap perkembangan normal kanak-kanak. Jika mereka mendapati berlaku kelembapan dalam perkembangannya, kanak-kanak itu mesti dibawa untuk saringan dan mengenal pasti masalah.

Setelah kurang-upaya atau kecacatan dikenal pasti, penjaga atau ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak istimewa itu berdaftar dengan JKM.

Borang pendaftaran ada disediakan di Pejabat Daerah JKM, klinik kesihatan dan hospital-hospital. Borang itu mesti disahkan oleh doktor bertauliah dan OKU berkenaan akan menerima kad pengenalan khas yang membolehkan mereka mendapat faedah-faedah disebabkan oleh kecacatan mereka.

Mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan pemulihan yang berkaitan dengan kecacatan mereka seperti pemulihan anggota, cara kerja, pertuturan, kaunseling yang juga terdapat di hospital kerajaan dan swasta dan di sesetengah klinik.

Bagi mendapatkan pendidikan formal, kanak-kanak kurang upaya perlu didaftarkan dengan Jabatan Pendidikan Khas.

-- BERNAMA

Friday, March 12, 2010

Aktiviti Fizikal adalah untuk semua golongan: Golongan Kurang Upaya(OKU)


Pengenalan
Orang yang kurang upaya (OKU) adalah :

"Seseorang yang tidak dapat menguruskan kehidupan sehariannya dengan sempurna akibat daripada masalah mental atau fizikal"

Lebih kurang 10% dari populasi penduduk mengalami pelbagai peringkat kurang keupayaan. Daripada jumlah tersebut, 6% boleh menyesuaikan diri dengan kekurangan mereka, 4% memerlukan rawatan pemulihan dan hanya 1% mengalami kurang upaya yang teruk.

Orang yang kurang upaya/cacat biasanya mempunyai kelebihan lain. Sebagai contoh, orang cacat penglihatan tidak mampu melihat, tetapi mempunyai deria lain yang lebih baik dari orang yang normal.

Jenis-jenis kurang upaya/ kecacatan


* Kecacatan penglihatan/buta
* Kecacatan pendengaran/pekak
* Kecacatan fizikal
-contohnya 'Cerebral palsy, Stroke, Muscular Dystrophy, kecederaan tulang belakang, pemotongan anggota (Limb amputation)
* Gangguan intelektual dan masalah dalam pembelajaran seperti terencat akal, 'dyslexia'
* Masalah tingkahlaku seperti 'Autism, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD)'
* Masalah komunikasi

penyebab kurang upaya/kecacatan


* Sebab utama di kalangan bayi:

o Genetik contohnya 'Downs Syndrome, Muscular Dystrophy'
o Stress/tekanan kepada kandungan ibu terutamanya dalam 3 bulan kehamilan;
+ Penyakit semasa kehamilan seperti kencing manis, darah tinggi
+ Penyalahgunaan ubat seperti akohol, ubat-ubat tidak mematuhi preskripsi, merokok
+ Jangkitan kuman akibat 'rubela, syphilis'
o Kekurangan zat makanan semasa hamil seperti kurang 'folic acid' boleh menyebabkan keadaan tertentu contohnya 'spina bifida, microcephaly, anencephaly
o Kecederaan semasa hamil atau semasa proses melahirkan bayi yang menyebabkan kandungan lemas yang boleh menyebabkan kerosakkan kepada otak seperti 'Cerebral palsy'
o Bayi mengalami penyakit kuning yang teruk (Kenicterus)

* Sebab utama dikalangan kanak-kanak dan orang dewasa:

o Jangkitan kuman seperti 'Heamophilus Influenza B' yang menyebabkan jangkitan pada selaput otak (meningitis) atau 'encephalitis' yang disebabkan oleh 'measles'
o Kemalangan atau kecederaan seperti kecederaan fizikal, akibat bahan kimia, akibat terbakar kepada tubuh
o Kekurangan zat makanan yang teruk seperti kekurangan vitamin A boleh menyebabkan rabun/buta
o Kekurangan 'iodine' dalam badan yang menyebabkan keadaan 'Congenital Hypothyroidism' (terencat akal & susuk badan pendek)
o Komplikasi dari penyakit-penyakit tertentu seperti kencing manis, angin ahmar (stroke)

Komponen Kecergasan

Terdapat 5 komponen kecergasan.

1) Daya Tahan Kardiovaskular

Kecekapan jantung dan sistem perdaran darah berfungsi dengan sistem respiratori untuk memenuhi keperluan oksijen dalam tubuh badan supaya kerja untuk jangka masa yang panjang dapat diteruskan.

Komponen ini melibatkan sistem tenaga aerobic yang mana memerlukan kehadiran oksigen untuk proses penghasilan tenaga. Dayatahan CVR boleh dibina dengan melakukan latihan atau gerakkerja fizikal secara berpanjangan seperti aktiviti berikut:

a) Jogging sejauh 5 km
b) Berbasikal sejauh 20 km
c) Berenang sejauh 600 meter
d) Senamrobik selama 60 minit

Terdapat beberapa ujian yang mampu menguji dayatahan kardiovaskular

a) Cooper test (lari selama 12 minit)
b) Lari 2.4 km
c) Ujian Bleep (Pace Run)
d) Renang 600 meter.

2) Dayatahan Otot

Kebolehan sesuatu atau sekumpulan otot menghasilkan daya kerja secara berulang-ulang bagi satu masa tertentu atau penguncupan otot untuk satu jangka masa yang lama.. Dayatahan Otot boleh dibentuk melalui latihan fizikal terhadap otot atau kumpulan otot tertentu seperti

a) latihan bebanan (beban kurang, ulangan banyak)
b) Latihan rintangan (rintangan yang rendah, masa yang panjang)
c) Ulangan perlakuan sehingga lesu.

Dayatahan otot boleh diuji melalui beberapa ujian yang telah dikenalpasti

a) Tekan tubi tanpa henti selama 1 minit
b) Harvard step up dengan mengikut rentak metronome
c) Dan lain-lain lagi.

3) Kekuatan Otot

Keupayaan otot untuk mengatasi rintangan bagi menghasilkan daya (kerja).
Kekuatan otot boleh ditingkatkan melalui latihan bebanan dan rintangan
a) Isotonik
b) Isometrik
c) Isokinetik

Beban mestilah berkadaran dengan kerja dan mengikut objektif latihan
a) Ujian Kekuatan Otot
b) Bangkit tubi bervariasi
c) Dynometer test
d) Set ujian kekuatan.

4) Kelenturan
Keupayaan sesuatu sendi untuk membenarkan pergerakan berlaku melalui satu julat atau sudut yang seluas mungkin dengan licin tanpa sebarang rintangan. Hasil pergerakan ditentukan oleh kebolehan otot, ligamen dan tendon untuk memanjang.

Latihan meningkatkan kelenturan

Kekerapan untuk melakukan senaman regangan otot, ligamen dan tendon semasa sesi memanaskan badan. Kekerapan melakukan kelonggaran sendi-sendi.
Ujian Kelenturan
a. Terdapat banyak ujian kelenturan namun yang paling popolar ialah duduk dan jangkau.
b. Flexometer adalah alat yang direka untuk mengukur tahap kelenturan seseorang.

5)Komposisi Badan

Kadar peratusan lemak dalam badan berbanding dengan berat badan (otot dan tulang)

Latihan Pembakaran Lemak
• Pembakaran lemak melalui kegiatan fizikal.
• Mengawal kadar pengambilan kalori dengan kadar pembakaran kalori.
• Meningkatkan kadar metabolisme.
Ujian Komposisi Badan
• Ukur lilit pinggul
• Berat / tinggi